Sunday 18 September 2011

Aizat Amdan Bolot Dominasi AIM18


15 Sep - Selepas berjaya menggondol Anugerah Juara Lagu ke-24 pada tahun 2009 menerusi lagu "Pergi", penyanyi Aizat Amdan kembali mengorak gemilang profil seninya selepas mengungguli enam pencalonan untuk enam kategori termasuklah Album Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 12 November ini.

Mendominasi hampir kesemua kategori utama untuk album "Urusan Aizat Amdan", Aizat bakal bertanding di dalam kategori Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik menenerusi lagu "Susun Silang Kata", Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik selain daripada Album Terbaik.
Selain Aizat, penyanyi bersuara soprano Ning Baizura turut mengungguli lima pencalonan menerusi album terbarunya, "Dewa" serta album kolaborasi bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah, "3 Suara".
Sementara itu Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Yuna serta dua pendatang baru, Najwa Mahiaddin dan Reza Salleh turut berjaya menempatkan diri menerusi empat pencalonan.
Walaubagaimanapun album figura Indie popular tempatan, Hujan hanya gagal mendapat sebarang nominasi dalam kategori utama, sebaliknya terpaksa berpuas hati dengan kategori Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik ekoran salah seorang ahlinya bukan warganegara Malaysia.
Pengumuman top 5 finalis kategori AIM18 yang berlangsung semalam di Hotel Royale Chulan turut mengumumkan pemansuhan kategori Lagu Hip Hop Terbaik dek kekurangan penyertaan dan juga pengurangan 10 kategori menjadikan AIM kali ini tampil dengan 18 kategori sahaja serta tidak membenarkan karya pemuzik luar.
Diketuai oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Ramli MS bertindak selaku ketua Juri, AIM18 turut memperkenalkan anugerah khas Celcom iaitu Artis Mobile Terbaik Celcom, sebuah anugerah khusus mengiktiraf artis yang mendapat jumlah muat turun mobil tertinggi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...