Sunday 16 October 2011

7,000 Pemohon Rebut 560 Rumah

MOHAMAD NORAZAM menunjukkan nombor miliknya 3402 yang dicabut oleh Najib sambil bergambar dengan model rumah Pr1ma di Presint 11, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1ma) bagi fasa pertama mendapat sambutan di luar dugaan apabila lebih 7,000 orang memohon semata-mata untuk mendapatkan 560 unit rumah.


Projek yang akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. itu terdiri daripada 420 unit rumah dengan keluasan binaan 815 kaki persegi berharga RM120,000 manakala 140 unit berkeluasan 1,006 kaki persegi pada harga RM150,000.

Pr1ma dalam satu kenyataan di sini berkata, fasa itu mencatatkan lebihan langganan 13 kali dengan lebih 7,000 permohonan diterima, yang mana 84 peratus adalah pembeli rumah kali pertama.


Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semalam melancarkan eksesais pengundian pertama Pr1ma di Kompleks Kejiranan, Precinct 11, Putrajaya.
Pr1ma menjelaskan, rumah-rumah itu adalah untuk mereka yang tinggal atau bekerja di Putrajaya.
“Berikutan kejayaan peruntukan pertama hari ini (semalam), kita akan menyediakan lebih banyak lagi rumah dalam bulan-bulan akan datang,” katanya.


Pr1ma berkata, pemohon yang berjaya akan dimaklumkan menerusi e-mel dan dikehendaki menyediakan semua dokumen untuk pengesahan dijalankan.
Antara pemohon yang gembira semalam ialah peniaga di Pasar Tani Presint 2, Putrajaya, Mohamad Azman Shah, 25, yang telah berusaha sejak tiga tahun lalu untuk memiliki rumah sendiri.- KOSMO

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...