Sunday 2 October 2011

Pencuri Penutup Longkang Dicekup

KOTA BHARU – Dua lelaki gagal melarikan diri bersama beberapa penutup longkang yang dicuri di kawasan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dekat sini apabila mereka berjaya ditangkap pengawal keselamatan dan orang ramai petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kedua-dua lelaki terbabit berjaya ditangkap bersama 10 keping penutup longkang dalam kereta jenis Daihatsu yang digunakannya kira-kira 10 meter dari OUM.
Menurut pengawal keselamatan OUM, Shukri Mohd. Noor, 45, dia menyedari kejadian itu ketika melihat kamera litar tertutup (CCTV) di pejabatnya yang merakamkan kegiatan dua suspek terbabit.
“Saya dan rakan sedang meneliti rakaman dan tiba-tiba terlihat dua lelaki keluar dari kereta dan terus mengambil besi penutup longkang dalam kawasan OUM lalu memasukkan ke dalam kereta mereka.
“Saya bergegas keluar dan terus menghubungi pengawal di pintu keluar supaya menutup laluan bagi mengelak suspek daripada terlepas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Shukri berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, suspek cuba melarikan diri dengan memecut keretanya dan terus melanggar rantai besi penghadang di pintu keluar sehingga putus menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan.
Tambahnya, akibat melanggar penghadang jalan itu, tayar kereta suspek bocor dan mereka tidak dapat melepaskan diri kerana kebetulan laluannya terhalang oleh sebuah lori pada masa itu.
Kosmo

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...